cadburry Diary Milk!
DIA Hanya Satu Tiada Dua
Saturday 15 December 2012 | 02:09 | 0 comments
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
(Dengan nama Allah,Yang Maha Pemurah,lagi Maha Mengasihani)





Mana ada manusia yang tidak pernah ditimpa susah. Itu sunnatullah. Asalkan namanya manusia, pasti akan merasa susah, pasti akan merasa sakit dan semestinya akan merasa mati.
Tidak kiralah dia beriman dengan Allah, atau tidak beriman dengan Allah.
Namun, manusia yang beriman dengan Allah, ternyata lebih istimewa kerana tahap kesakitan dan kesusahan yang mereka rasai jauh lebih berat dan hebat.

YANG PALING DAHSYAT DIUJI
Para Nabi.
Merekalah golongan yang paling sakit dan paling susah. Kemudian, mereka-mereka yang mengikut jejak langkah para Nabi dan para Rasul, ‘alaihim assolatu was salam.
Tetapi ternyata bentuk ujian berbeza-beza, kerana tujuan juga berbeza-beza.
Para Nabi mencari redha Allah dalam sebuah kehidupan, bukan redha manusia, bukan kenikmatan dunia, justeru ujian yang mereka tempuhi adalah sehebat-hebat ujian.
Kemudian, generasi selepasnya yang juga mencari redha Allah dalam sebuah kehidupan, akan turut serta menerima ujian yang sama.

PUTUS ASA
Namun ternyata mereka tidak pernah berputus asa.
Hanya satu sahaja sebabnya, iaitu tujuan sebenar hidup mereka di dunia.
Ya, mereka hidup kerana Allah.
Susah dan payah yang mereka terima, benar-benar diyakini datangnya daripada Allah. Sebagai tanda CINTA, sebagai tanda SAYANG.
Lalu dengan CINTA dan SAYANG itulah mereka hidup. Mereka bernafas dalam nafas keimanan yang cukup hebat. Mereka hidup untuk hari esok, tempat kembali yang kekal abadi, bukan untuk kehidupan dunia yang cuma seketika.
Sebab itu, mereka tidak pernah berputus asa.

DIUJI DAN BERPUTUS ASA
Namun berbeza pula halnya dengan kita.
Kadangkala, kita mengadu diuji. Walhal sebenarnya kita belum pun diuji.
Ada masalah dengan kekasih hati, itu sudah cukup untuk satu dunia mengetahui kita sedang diuji. Tidak cukup status facebook, sambung pula di twitter. Seakan mahu dijerit kencang kepada seisi dunia bahawa diri sedang diuji.
Kemudian apabila buah hati kembali memujuk, serta merta berubah tajuk. Dibungai kembali dengan status-status manja bagi menterjemah kegedikan di hati.
Itu bukan ujian. Itu kenikmatan palsu dalam sebuah kehidupan.
Jika apa yang dikejar bukan redha Tuhan, masakan bisa dinamakan kenikmatan palsu sebagai ujian?
Hidup kerana ditakdirkan hidup. Bernafas kerana masih diberi nafas.
Tidak tercapai apa yang diimpi dalam hidup, maka ambil nyawa secara paksa adalah jalan keluarnya. Manakan tidak, dirasakan dunia sudah gelap, sudah tamat.

BERHARAP ITU HANYA KEPADA YANG SATU
Seperti juga kita makan.
Meskipun zahirnya lauk yang dimasak itu dari air tangan ibu, tetapi hakikatnya yang mengurniakan lauk itu adalah Allah. Sebagai rezeki yang kita jamah setiap hari.
Nah, begitu juga dengan berharap.
Meskipun kita mengharapkan si dia setia dengan cintanya kepada kita, namun HAKIKAT PENGHARAPAN wajib diserah kepada Allah, satu-satunya tiada dua.
Itulah kata kunci untuk kita kekal dengan sebuah pengharapan.
Meskipun manusia membenci, mengkhianati dan meninggalkan kita sendiri.
Allah ada.
DIA tidak pernah meninggalkan kita sendirian dalam menempuh segalanya.

BELUM TERLAMBAT
Selagi ada nafas, ertinya kita belum terlambat untuk reset semula segalanya.
Meneliti kembali arah perjalanan, apakah aku ini di atas jalan yang benar? Jalan yang ditempuh oleh para Nabi, para Rasul, para pejuang yang kehidupan mereka hanyalah untuk mencari Redha Allah?
Apakah benar kesusahan dan kesakitan yang aku alami dalam hidup merupakan manifestasi daripada sebuah KASIH SAYANG TUHAN?
Atau adakah aku cuma larut dalam arus kenikmatan, tertipu dengan keseronokan berjasad khayalan?
Atau adakah aku sebenarnya belum pun diuji?
Atau adakah Allah sebenarnya tidak menguji aku sepertimana para Nabi-Nya kerana cinta-Nya tidak ada untukku?
Masih belum terlambat.
Bangkitlah semula memperbaharui nafas seorang hamba.
Kita hidup bukan hanya untuk suka-suka, meskipun hidup kita berselang gelak dan tawa. Kita hidup kerana DIA. Kerana mahukan redha-Nya. Kerana mahu hidup seperti kekasih-kekasih-Nya.
Biarpun tidak serupa, setidak-tidaknya kita usaha untuk bersama.
Mari tajdidkan semula niat kita, untuk sebuah kehidupan yang tidak pasti bila pengakhirannya.
Agar bila kita disapa sakit dan susah, ditegur sukar dan musibah, senyum tenang takkan pudar di wajah.
Agar kita tidak berhenti berlari menuju matlamat.
Agar kita tidak berhenti dari berharap.
Kerana kita yakin cahaya CINTA-NYA tidak pernah malap.

Older Post | Newer Post
Meet The Boss(•ˆ⌣ˆ•)

name: Nur Farahin
date birth:July 14
school:Smk Panglima Bukit Gantang
(っˆヮˆ)っ Cbox


Blog Archive

♡music(◦'⌣'◦)
(っˆヮˆ)っ edit by
babystylo